Alasan seekor lembu Serbia biasa
Banyak keajaiban yang berlaku di dunia ini, dan di negara kami, seperti ramai orang katakan, dipenuhi dengan keajaiban sehingga keajaiban tidak lagi menjadi keajaiban. Ada orang di sini dengan kedudukan yang sangat tinggi sama sekali tidak berfikir, dan sebagai ganti rugi, atau mungkin untuk beberapa alasan lain, seekor lembu petani biasa, yang tidak sedikitpun berbeza dengan lembu Serbia yang lain, mula berfikir. Hanya Tuhan tahu apa yang terjadi yang membuatkan haiwan pintar ini berani melakukan usaha yang lancang, terutamanya kerana telah terbukti bahawa di Serbia penjajahan malang ini hanya membawa kerugian. Boleh kita katakan bahawa binatang malang ini, di dalam kesemua kenaifannya, tidak tahu bahawa usaha ini tidak menguntungkan di tanah airnya, jadi kita tidak akan menganggapnya dengan sebarang keberanian sivik tertentu. Tetapi masih menjadi misteri mengapa seekor lembu harus berfikir kerana dia bukan pengundi, atau ahli dewan, atau hakim, atau dia telah dipilih sebagai wakil di mana-mana dewan lembu, atau bahkan (jika dia telah mencapai usia tertentu) senator. Dan seandainya si malang itu pernah bermimpi menjadi menteri negara di mana-mana negara lembu, dia seharusnya tahu bahawa sebaliknya, dia harus mempraktikkan cara berfikir sesedikit mungkin, seperti menteri-menteri cemerlang di beberapa negara yang lebih bahagia, walaupun negara kita tidak begitu bernasib baik dalam hal ini. Di akhirnya, mengapa kita harus peduli tentang mengapa seekor lembu di Serbia melakukan usaha yang ditinggalkan oleh rakyatnya? Juga, mungkin dia mula berfikir hanya kerana naluri semula jadinya.
Jadi, apakah jenis lembu itu? Lembu biasa yang, seperti zoologi mengajar kita, berkepala, badan, dan anggota badan, seperti semua lembu lain; dia menarik sebuah kereta sorong, memakan rumput, menjilat garam, merenung dan melenguh. Namanya Kelabu.
Inilah cara dia mula berfikir. Suatu hari tuannya mengikatnya dan rakannya, Hitam, memuatkan beberapa piket yang dicuri ke dalam kereta sorong dan membawa mereka ke bandar untuk berjualbeli. Hampir seketika memasuki bandar, dia menjual piket dan kemudiannya membuka penyambungKelabu dan rakannya, menyangkut dengan rantai yang mengikat mereka ke penyambung, melemparkan seberkas rumput bidal di depan mereka, dan dengan riang pergi ke sebuah kedai kecil untuk menyegarkan diri dengan beberapa minuman. Terdapat perayaan yang sedang berlangsung di bandar itu, jadi ada lelaki, wanita, dan anak-anak yang datang dari semua sudut. Si Hitam, atau dikenali oleh lembu lain sebagai agak bodoh, tidak melihat apa-apa, sebaliknya, dia makan tengahari dengan tegas, makan sepenuh perut, tersendat sedikit dari kenikmatan yang tulus, dan kemudian baring, tidur dengan lembut dan merenung. Semua orang yang lalu tidak dipedulikannya. Dia hanya tertidur dan merenung dengan damai (sayang sekali dia bukan manusia, dengan semua kecenderungan ini untuk kerjaya yang tinggi). Tetapi Kelabu tidak dapat menjamah sedikit pun. Matanya yang mengelamun dan ekspresi sedih di wajahnya menunjukkan pada pandangan pertama bahawa ini adalah sejenis pemikir, dan jiwa yang baik dan memberi kesan. Orang ramai, orang Serbia, berlalu dekat dengannya, bangga dengan masa lalu mereka yang gemilang, nama mereka, bangsa mereka, dan kebanggaan ini menunjukkan sikap dan langkah mereka yang tegas. Kelabu mengamati semua ini, dan jiwanya tiba-tiba ditelan oleh kesedihan dan keperitan akibat ketidakadilan yang luar biasa, dan dia tidak dapat lari dari emosi yang kuat, tiba-tiba dan berkuasa; dia melenguhkesedihan, pilu, air mata bergenang di matanya. Dan dalam kesakitannya yang amat sangat, Kelabu mula berfikir:
– Apa yang tuanku dan rakan-rakannya, orang Serbiabanggakan? Mengapa mereka mengangkat kepala mereka dengan begitu tinggi dan memandang kaumku dengan rasa angkuh dan jijik? Mereka bangga dengan tanah air mereka, bangga kerana nasib yang penuh belas kasihan telah mengurniakan mereka dilahirkan di sini di Serbia. Ibuku juga melahirkan aku di sini di Serbia, dan Serbia bukan sahaja tanah kelahiranku tetapi ayahku juga, dan nenek moyangku, sama seperti mereka, bersama-sama, datang ke negeri-negeri ini dari tanah air usangSlavia. Namun tidak ada satupun dari kami yang merasa bangga dengannya, kami hanya bangga dengan kemampuan kami untuk menaikkan beban yang lebih beratuntuk ke atas bukit; hingga hari ini, tidak pernah ada seekor lembu yang memberitahu seekor lembu Jerman: “Apa yang engkau mahukan dariku, aku adalah lembu Serbia, tanah airku adalah negara Serbia yang membanggakan, semua nenek moyangku telah dilahirkan di sini, dan di sini, di negeri ini, adalah kubur nenek moyangku.” Tuhan melarang, kami tidak pernah bangga dalam hal ini, tidak pernah terlintas di fikiran kami, dan mereka bahkan bangga akan hal itu. Orang-orang aneh!
Dengan pemikiran ini, lembu yang sedih itu menggelengkan kepalanya, loceng di lehernya berdering dan penyambung berderak. Hitam membuka matanya, memandang rakannya, dan menguak:
– Engkau dah mula lagi dengan karut-marutmu! Makan, bodoh, tumbuhkan sedikit lemak, lihat tulang rusukmu semua kelihatan; jika difikirkan dengan baik, manusia tidak akan menyerahkannya kepada kita lembu. Tidak mungkin kita bernasib baik!
Kelabu memandang rakannya dengan rasa kasihan, memalingkan kepalanya darinya, dan meresap kembali kepada pemikirannya.
– Mereka bangga dengan masa lalu mereka yang gemilang. Mereka mempunyai Tanah Kosovo, Pertempuran Kosovo. Biasa sahaja, bukankah nenek moyangku telah menarik kereta sorong dengan makanan dan persenjataan sejak dari dahulu? Sekiranya bukan kerana kita, manusia terpaksa melakukannya sendiri. Kemudian berlaku pemberontakan terhadap orang Turki. Usaha yang agung dan mulia, tetapi siapa yang berada di sana pada masa itu? Adakah orang-orang bodoh yang hidung tinggi ini, mengatur langkah dengan bangga di hadapanku seolah-olah ianya jasa mereka, yang menimbulkan kebangkitan? Di sini, ambil tuanku sebagai contoh. Dia juga begitu bangga dan sombong dengan pemberontakan itu, terutama dengan kenyataan bahawa datuk dan neneknya mati dalam perang pembebasan sebagai pahlawan sejati. Dan adakah ini jasa tuanku? Moyangnya berhak berbangga, tetapi bukan dia; datuk dan neneknya meninggal sehingga tuanku, keturunannya, mendapat kebebasan. Jadi dia bebas, dan bagaimana dia menggunakan kebebasannya? Dia mencuri piket orang lain, duduk di dalam kereta sorong, dan aku harus menariknya dan piket semasa dia tidur di kendali. Sekarang dia telah menjual piketnya, dia minum minuman keras, tidak melakukan apa-apa dan bangga dengan masa lalu yang gemilang. Dan berapa banyak nenek moyangku yang telah disembelih dalam pemberontakan untuk dimakan oleh para pejuang? Dan bukankah nenek moyangku pada masa itu menarik persenjataan, meriam, makanan, peluru? Namun kita tidak berbangga dengan jasa mereka kerana kita tidak berubah; kita masih menjalankan tugas kita hari ini, seperti yang dilakukan oleh nenek moyang kita, dengan sabar dan teliti.
Mereka bangga dengan penderitaan nenek moyang mereka dan selama lima ratus tahun menjadi hamba. Saudaraku telah menderita sepanjang kewujudan kita, dan hari ini kita masih menderita dan diperhambakan, namun kita tidak menjerit mengenainya melebihi suara kita. Mereka mengatakan bahawa orang Turki telah menyeksa, menyembelih dan mengotori mereka; tetapi, nenek moyangku dibunuh oleh orang Serbia dan Turki, dan dipanggang, dan diseksa dengan segala jenis seksaan.
Mereka bangga dengan agama mereka, namun mereka tidak percaya apa-apa. Apakah kesalahanku dan kaumkusehingga kita tidak dapat diterima di kalangan orang Kristian? Agama mereka mengatakan kepada mereka “janganlah kamu mencuri” dan tuanku ada mencuri dan minum dengan wang hasil dia dapat dengan mencuri. Agama mereka memerintahkan mereka untuk mengasihi sesama mereka, namun mereka hanya saling menyakiti. Bagi mereka, yang terbaik dari lelaki, contoh kebajikan, adalah orang yang tidak melakukan apa-apa keburukan, dan tentu saja, tidak ada yang menganggap meminta sesiapa untuk melakukan sesuatu yang baik juga, selain tidak melakukan keburukan. Begitulah rendahnya nilai yang mereka perolehi bahawa contoh kebajikan mereka tidak lebih dari perkara tidak berguna yang tidak membahayakan.
Lembu itu menghela nafas sedalam-dalamnya, dan nafasnya mengangkat debu dari jalanan.
– Maka – lembu itu meneruskan pemikiran sedihnya – dalam hal ini, bukankah aku dan keluargaku lebih baik daripada mereka semua itu? Aku tidak pernah membunuh sesiapa pun, aku tidak pernah memfitnah sesiapa pun, tidak pernah mencuri apa-apa, tidak pernah memecat orang yang tidak bersalah dari perkhidmatan awam, tidak pernah membuat kekurangan dalam perbendaharaan negara, tidak pernahmengakui kebankrapan palsu, akutidak pernah merantai atau menangkap orang yang tidak bersalah, akutidak pernah memfitnah rakan-rakan lembuku, akutidak pernah bertentangan dengan prinsip lembuku, akutidak pernah membuat kesaksian palsu, akutidak pernah menjadi menteri negara dan tidak pernah melakukan perkara yang membahayakan negara ini, dan bukan sahaja aku tidak melakukan keburukan, bahkan akuberbuat baik kepada mereka yang membahayakanku. Ibuku melahirkan aku, dan dengan segera, orang-orang jahat mengambil susu ibuku dariku. Setidaknya Tuhan telah menciptakan rumput untuk kami lembu, dan bukan untuk manusia, namun mereka juga menghalang kami darinya. Namun, selain semua dugaan itu, kami menarik kereta sorong orang, membajak ladang dan memberi mereka roti. Namun tiada yang mengakui kebaikkan kami yang kami lakukan untuk tanah air…
– Atau mengambil puasa sebagai contoh; baiklah, bagi lelaki, agama memberitahu untuk berpuasa pada semua hari perayaan, namun mereka bahkan tidak sanggup menjalani puasa kecil ini, sementara akudan kaumku berpuasa sepanjang hidup kami, sejak pertama kali kita dipisahkan dari payudara ibu.
Lembu menundukkan kepalanya seolah-olah dia bimbang, lalu mengangkatnya lagi, mendengus dengan marah, dan seperti ada sesuatu yang penting datang kembali kepadanya, menyeksanya; secara tiba-tiba, dia melenguh dengan gembira:
– Oh, sekarang aku tahu, ianya mesti – dan dia terus berfikir, – begitulah; mereka bangga dengan kebebasan dan hak sivil mereka. Aku perlu memikirkannya dengan tegas lagi.
Dan dia berfikir, berfikir, tetapi tidak berjaya.
– Apakah hak mereka ini? Sekiranya polis memerintahkan mereka untuk mengundi, mereka mengundi, dan seperti itu, kita dengan mudah dapat melenguh: “Aaa-ta-ta-au!” Dan jika mereka tidak diperintahkan, mereka tidak berani mengundi, atau bahkan berkecimpung dalam politik, sama seperti kita. Mereka juga dipukul dalam penjara, walaupun tidak bersalah. Sekurang-kurangnya kita menipu dan melambai-lambai ekor kita, dan bahkan mereka tidak mempunyai sedikit keberanian sivik pun.
Dan pada ketika itu, tuannya keluar dari kedai. Mabuk, terhuyung-huyung, mata kabur, menggomelkan beberapa kata yang tidak dapat difahami, dia berjalan dengan perlahan ke arah kereta sorong.
– Lihat sahaja, bagaimana keturunan riak ini menggunakan kebebasan yang dimenangi dengan darah nenek moyangnya? Betul, tuanku adalah pemabuk dan pencuri, tetapi bagaimana dengan yang lain menggunakan kebebasan ini? Hanya untuk mengundurkan diri dan berbangga pada masa lalu dan dengan jasa nenek moyang mereka, di mana mereka mempunyai banyak sumbangan sepertiku. Dan kita lembu, kita tetap menjadi pekerja yang rajin dan berguna seperti nenek moyang kita dahulu. Kita adalah lembu, tetapi kita masih boleh berbangga dengan kerja keras dan jasa kita hari ini.
Lembu itu menghela nafas sedalam-dalamnya dan bersiap lehernya untuk disambung.
Di Belgrade, 1901
Untuk Projek “Radoje Domanović” yang diterjemahkan oleh Wan Nurul Nabila Wan Mansor, 2020