Tag Archive | pengembara

Pemimpin (3/3)

(mukasurat sebelumnya)

Dengan itu, hari pertama pon berlalu, dan disusuli banyak lagi hari dengan kejayaan yang sama. Tidak ada perkara yang sangat penting berlaku, hanya kejadian-kejadian lazim: mereka jatuh kepala dahulu ke dalam parit, kemudian ke gaung; mereka melaluipohon pembenteng dan semak beri hitam; mereka memijak botol-botol; ada beberapa patah tangan dan kaki; ada yang mengalami luka di kepala. Tetapi semua seksaan ini ditahan. Beberapa orang tua dibiarkan mati terbaring di atas jalan raya. „Mereka tetap akan mati walaupun mereka tinggal di rumah, apatah lagi di jalan!“ kata jurucakap itu, mendorong yang lain untuk meneruskan perjalanan. Beberapa kanak-kanak yang lebih kecil, berumur satu hingga dua tahun, turut mati. Ibu bapa dengan tegas menahan sakit hati mereka kerana itu adalah kehendak Tuhan. „Dan semakin kecil anak-anak, semakin kurang kesedihan itu. Semasa mereka lebih muda, kesedihan adalah kurang. Tuhan mengurniakan ibu bapa untuk tidak akan kehilangan anak-anak mereka sehingga mereka mencapai usia perkahwinan. Sekiranya anak-anak itu telah ditakdirkan, lebih baik mereka mati lebih awal. Maka kesedihan tidak begitu besar! “ jurucakap itu menenangkan mereka lagi. Sebilangan kain dibalut di kepala mereka dan diletakkanpemampat sejuk padalebam-lebam mereka. Yang lain pula memeluk lengan mereka dengan kain selempang. Semuanya compang-camping dan luka. Pakaian mereka tergantung dalam serpihan, tetapi mereka tetap maju ke hadapan dengan senang hati. Semua ini akan lebih mudah ditanggung sekiranya mereka tidak sering merasa lapar. Tetapi mereka harus meneruskanperjalanan.

Pada suatu hari, sesuatu yang amat penting berlaku.

Pemimpin itu berjalan di hadapan, dikelilingi oleh lelaki-lelaki paling berani dalam kumpulan itu. (Dua daripada mereka hilang, dan tidak ada siapa tahu di mana mereka berada. Adalah pendapat umum bahawa mereka telah mengkhianati tujuan mereka dan melarikan diri. Pada satu ketika jurucakap itu mengatakan sesuatu mengenai pengkhianatan mereka yang memalukan. Hanya sebilangan kecil yang percaya bahawa kedua-duanya telah mati di jalanan, tetapi mereka tidak menyuarakan pendapat mereka agar tidak mengghairahkan yang lain.) Ahli kumpulan yang lain berada di belakang mereka. Tiba-tiba muncul sebuah gaung berbatu yang sangat besar dan dalam – jurang yang sebenar. Lereng itu sangat curam sehingga mereka tidak berani melangkah ke hadapan. Malah antara yang paling berani pun berhenti sebentar dan memandang pada si pemimpin. Mengerut, hanyut dalam pemikiran dengan kepalanya ke bawah, beliau dengan berani melangkah ke hadapan, mengetuk tongkatnya di hadapan, mulanya ke kanan, kemudian ke kiri, dengan cara sifatnya. Banyak yang mengatakan semua itu membuatkan beliau kelihatan masih lebih bermaruah. Beliau tidak memandang sesiapa pun dan tidak mengatakan apa-apa. Di wajah beliau tiada perubahan ekspresi atau tanda ketakutan sambil beliau semakin dekat dan dekat dengan tebing itu. Bahkan orang yang paling berani menjadi pucat seperti mayat, tetapi tidak ada yang berani memberi amaran kepada pemimpin yang gagah berani lagi bijaksana itu. Dua langkah lagi dan beliau berada di pinggir. Dalam ketakutan yang mengerikan dan dengan mata terbuka lebar, mereka semua gementar. Orang-orang yang paling berani hanya mampu menahan pemimpin itu, walaupun itu bermaksud melanggar disiplin, ketika beliau melangkah sekali, dua kali, dan terjun ke dalam gaung. Muncul kebingungan, tangisan, jeritan; ketakutan semakin kuat. Ada yang mula melarikan diri.

– Bertahan, saudara! Kenapa tergesa-gesa? Adakah ini cara kamumenyimpan kata-katamu? Kita mesti mengikuti lelaki bijaksana ini kerana beliau tahu apa yang beliau lakukan. Beliaupastinya gila untuk merosakkan diri beliau sendiri. Maju, ikutbeliau! Ini adalah bahaya terbesar dan mungkin bahaya terakhir, rintangan terakhir. Siapa tahu? Mungkin di seberang gaung ini kita akan menjumpai tanah yang indah dan subur yang Tuhan mahukan untuk kita. Maju! Tanpa pengorbanan, kita tidak akan ke mana-mana! – begitu kata-kata nasihat jurucakap itu dan beliau juga mengambil dua langkah ke hadapan, hilang ke dalam gaung. Yang paling berani pun ikut dan kemudian diikuti orang lain terjun ke dalamnya.

Terdapat tangisan, mengerang, berguling, merintih di lereng curam gaung yang luas ini. Seseorang pastinya akan bersumpah bahawa tidak ada yang akan hidup, apalagi tidak cedera dan dalam keadaan yang baik, tetapi kehidupan manusia sangat gigih. Pemimpin itu bernasib baik. Beliau tergantung di atas semak ketika beliau jatuh sehingga beliau tidak terluka. Beliau berjaya menarik dirinya dan keluar. Sambil meratap, mengerang dan menangis bergema di bawah, beliau duduk tidak bergerak, diammembisu. Beberapa orang yang terluka dan marah mula mengutuknya tetapi beliau tidak menghiraukan mereka. Mereka yang bernasib baik dapat memegang semak atau pokok ketika jatuh mula berusaha dengan gigih untuk keluar. Ada yang kepalanya retak sehingga darah mengalir keluar dari wajah mereka. Tiada seorang pun dalam keadaan sempurna kecuali si pemimpin. Mereka semua tiba-tiba mengerutkan kening dan mengerang kesakitan tetapi beliau tidak mengangkat kepalanya. Beliaudiam dan mengekalkan gaya reflektif seorang yang bijaksana!

Beberapa masa berlalu. Jumlah pengembara menjadi semakin kecil. Setiap hari semakin terkesan. Ada yang meninggalkan kumpulan dan berpatah balik.

Dari jumlah besar pada permulaannya, hanya kira-kira dua puluh yang tinggal. Wajah mereka yang lesu dan keletihan menunjukkan tanda-tanda putus asa, keraguan, keletihan dan kelaparan, tetapi tiada yang bercakap walau sepatah pun. Mereka diam seperti pemimpin mereka dan terus berjalan. Bahkan jurucakap yang bersemangat itu pun menggelengkan kepalanya dengan terdesaknya. Jalan itu sesungguhnya memang sukar.

Jumlah mereka berkurang setiap hari sehingga tinggal sepuluh orang sahja. Dengan wajah yang kecewa, mereka hanya mengerang dan mengeluh dari bercakap.

Mereka kelihatan seperti orang-orang lumpuh daripada kaum lelaki biasa. Sebilangannya menggunakan tongkat bantuan. Ada yang memegang lengan mereka dengan selempang yang diikat di leher mereka. Di tangan mereka terdapat banyak pembalut dan pemampat. Jika mereka ingin membuat pengorbanan baru sekalipun, mereka tidak dapat melakukannya kerana hampir tidak ada ruang di badan mereka untuk luka-luka baru.

Yang paling kuat dan paling berani di antara mereka juga telah hilang kepercayaan dan harapan tetapi mereka masih berjuang kuat; iaitu, mereka bertatih dengan usaha yang hebat, mengeluh, dipenuhi kesakitan. Apa lagi yang boleh mereka lakukan sekiranya mereka tidak dapat kembali? Sudah banyak pengorbanan dan sekarang mahu meninggalkan perjalanan?

Senja pun turun. Berjalan tempang dengan tongkat bantuan, mereka tiba-tiba melihat bahawa pemimpin itu sudah tidak berada di hadapan mereka lagi. Selangkah lagi dan mereka semua terjun ke gaung yang lain.

– Oh, kaki saya! Oh, tangan saya! – bergema ratapan dan rintihan. Satu suara yang lemah malah mengutuk pemimpin yang layak itu tetapi kemudian menjadi diam.

Ketika matahari terbit, di sana duduk si pemimpin, sama seperti pada hari ketika beliau dipilih. Tiada sedikit perubahan pon dalam penampilannya.

Jurucakap itu keluar dari gaung itu, diikuti oleh dua yang lain. Cacat dan berdarah, mereka memandang sekeliling untuk melihat berapa ramai lagi yang tinggal, tetapi mereka sahaja yang ada. Ketakutan yang amat dan putus asa memenuhi hati mereka. Wilayah ini tidak diketahui, berbukit, berbatu – tiada laluan di mana-mana. Dua hari sebelumnya mereka menemui jalan raya tetapi telah meninggalkannya. Pemimpin itu memimpin mereka jalan itu.

Mereka memikirkan banyak rakan dan saudara yang telah mati dalam perjalanan yang hebat ini. Kesedihan yang sangat kuat mengatasi rasa sakit di anggota badan mereka yang lumpuh. Mereka telah menyaksikan kehancuran diri mereka dengan mata mereka sendiri.

Jurucakap itu mendekati si pemimpin itu dan mula bercakap dengan suara letih, bergetar penuh dengan keperitan, keputusasaan dan kepahitan.

– Ke mana kita pergi sekarang?

Pemimpin itu diam.

– Di mana kamu membawa kami dan di mana kamu telah membawa kami? Kami meletakkan diri dan keluarga kami di tangan kamu dan kami mengikuti kamu, meninggalkan rumah dan kubur nenek moyang kami dengan harapan kami dapat menyelamatkan diri dari kehancuran di tanah tandus itu. Tetapi kamu telah merosakkan kami dengan cara yang lebih teruk. Ada dua ratus keluarga di belakang kamu dan sekarang lihat berapa ramai!

– Maksud kamu semua orang tidak ada di sini? –ucap si pemimpin tanpa mengangkat kepalanya.

– Bagaimana kamu bertanya soalan seperti itu? Dongak dan lihat! Hitung berapa ramai daripada kami yang tertinggal dalam perjalanan malang ini! Lihat keadaan kami ini! Lebih baik mati daripada dilumpuhkan seperti ini.

– Saya tidak dapat melihat kamu!

– Kenapa tidak?

– Saya buta.

Senyap sunyi.

– Adakah kamu kehilangan penglihatan semasa dalam perjalanan ini?

– Saya dilahirkan buta!

Ketiganya menggantungkan kepala dengan putus asa.

Angin musim luruh bertiup deras melalui pergunungan dan menurunkan daun-daun layu. Kabusberarak di atas bukit, dan melalui udara sejuk yang berkabus mengepakkan sayap-sayap gagak. Bunyi gagak yang mengkhuatirkan bergema. Matahari tersembunyi di sebalik awan, yang bergulung dan bergegas semakin menjauh.

Ketiga-tiga mereka saling memandang dengan rasa ngeri.

– Ke mana kita boleh pergi sekarang? –ucap salah satu dengan tegas.

– Kami tidak tahu!

 

Di Belgrade, 1902
Untuk Projek “Radoje Domanović” yang diterjemahkan oleh Wan Nurul Nabila Wan Mansor, 2020

Pemimpin (2/3)

(mukasurat sebelumnya)

Pada keesokan harinya, semua yang mempunyai keberanian untuk menempuh perjalanan yang panjang pun berkumpul. Lebih dari dua ratus keluarga datang ke tempat yang ditentukan. Hanya beberapa yang tinggal di rumah untuk menjaga tempat tinggal yang lama.

Amatlahsedih melihat sekumpulan orang yang menderita akibatditimpa musibah teruk ini terpaksa meninggalkan tanah kelahiran merekayang mana terletaknya kubur nenek moyang mereka. Wajah mereka lesu, usang dan terbakar panas. Penderitaan yang berat selama bertahun-tahun menunjukkan kesannya pada mereka dan menyampaikan gambaran penderitaan dan keputusasaan yang pahit. Tetapi di dalam saat ini, nampaknya sinar harapan pertama – bercampur dengan kerinduan pada kampung halaman yang pastinya. Air mata mengalir di wajah berkerut seribu seorang tua yang menghela nafas panjang dan menggelengkan kepalanya dengan udara yang berfirasat jahat. Beliaulebih sanggup bertahan seberapa waktu supayabeliau juga dapat mati di antara batu-batu ini daripada mencari tanah halaman yang lebih baik. Sebilangan besar wanita meratap dengan kuat dan mengucapkan selamat tinggal kepada orang-orang mereka sayangi yang telah mati yang kuburnya mereka sedang tinggalkan.

Lelaki-lelaki itu berusaha untuk menunjukkan keberanian dan berteriak, – Baiklah, adakah kalian ingin terus kelaparan di tanah terkutuk ini dan tinggal di pondok-pondok ini? – Sebenarnya mereka inginkan yang terbaik dengan mengambil seluruh wilayah sumpahan itu bersama mereka jika boleh.

Terdapat bunyi bising dan teriakan biasa seperti di setiap kumpulan manusia. Kedua-dua kaum lelaki dan kaum wanita gelisah. Kanak-kanak menjerit dalam buaian di belakang ibu mereka. Malah binatang ternakanjuga tidak begitu selesa. Tidak ada terlalu banyak lembu, seekor anak lembu di sana-sini dan kemudiankuda yang ramping dan kusut berkepala besar dan kaki gemuk di mana mereka memuatkan karpet lama, beg-begbahkan dua karung di atas pelana padat, sehingga binatang malang itu terhoyong-hayang keranamuatan berat itu. Namun ia berjaya bertahan dan meringkik dari masa ke semasa. Yang lain memuatkan keldai-keldai; kanak-kanak pula menarik anjing-anjing dengan tali penambat. Bercakap, menjerit, mengutuk, meratap, menangis, menyalak, meringkik – semuanya melimpah. Bahkan seekor keldai merengeh beberapa kali. Tetapi pemimpin itu tidak berkata sepatah pun, seolah-olah seluruh urusan itu bukan urusannya. Seorang lelaki yang benar-benar bijak!

Beliau hanya duduk termenung dan diam, dengan kepalanya ke bawah. Sesekali beliau meludah; itu sahaja. Tetapi kerana tingkah lakunya yang pelik, kemasyhurannya meningkat sehingga semua orang sanggup melalui api dan air, seperti yang mereka katakan, demi beliau. Perbualan berikut dapat didengari:

– Kita seharusnya gembira kerana menemui lelaki seperti itu. Sekiranya kita bergerak ke hadapan tanpa beliau, Tuhan melarang! Kita pasti akan binasa. Beliau mempunyai kepintaran sebenar, saya pasti! Beliaudiam. Beliau belum mengucapkan sepatah kata pun! – kata seseorang sambil memandang pemimpin itu dengan rasa hormat dan bangga.

– Apa yang harus beliau katakan? Sesiapa yang banyak bercakap tidak berfikir terlalu banyak. Seorang yang pintar, itu pasti! Beliau hanya merenung dan tidak mengatakan apa-apa, – tambah yang lain, dan beliau juga memandang pemimpin itu dengan kagum.

– Tidak mudah untuk memimpin sebegitu ramai orang! Beliau harus mengumpulkan pemikirannya kerana beliau mempunyai tugas besar di dalam tangannya, – kata si pertama sekali lagi.

Tiba masanya untuk bermula. Namun, mereka menunggu sebentar untuk melihat apakah ada orang lain yang akan berubah pikiran dan mengikut mereka, tetapi kerana tidak ada yang datang, mereka tidak dapat menunggu lama lagi.

– Bukankah kita harus pergi? – mereka bertanya kepada si pemimpin.

Beliau bangun tanpa mengucapkan sepatah kata.

Orang-orang yang paling berani segera berkumpul di sekeliling beliau untuk melindung sekiranya menghadapi bahaya atau kecemasan.

Pemimpin itu, mengerutkan kening, kepalanya ke bawah, mengambil beberapa langkah, mengayunkan tongkatnya di hadapannya dengan gaya yang bermaruah. Kumpulan itu bergerak di belakangnya dan berteriak beberapa kali, „Hidup pemimpin kami!“ Beliau mengambil beberapa langkah lagi dan bertembung dengan pagar di hadapan balai kampung. Di sana, sudah pastinya, beliau berhenti; jadi kumpulan itu pun berhenti juga. Pemimpin itu kemudian mundur sedikit dan mengetuk tongkatnya di pagar itu beberapa kali.

– Apa yang kamumahu kami buat? – mereka bertanya.

Beliau tidak berkata apa-apa.

– Apa yang patut kita buat? Runtuhkan pagar itu! Itulah yang harus kita lakukan! Tidakkah kamu melihat bahawa beliau menunjukkan kepada kita dengan tongkatnya apa yang harus dilakukan? – jerit mereka yang berdiri di sekitar pemimpin itu.

– Ada pintu pagar! Ada pintu pagar! – jerit anak-anak kecil dan menunjuk pintu yang berada di seberang hadapan mereka.

– Diam, senyap, anak-anak!

– Tuhan bantu kami, apa yang berlaku ini? – beberapa wanita menyeberang sendirian.

– Diam! Beliau tahu apa yang harus dibuat. Runtuhkan pagar itu!

Sekelip mata pagar itu sudah jatuh seolah-olah ianya tidak pernah ada di situ.

Mereka berlalumelepasi pagar.

Hampir tidak sampai seratus langkah mereka ketika pemimpin itu bertemu semak berduri besar dan berhenti. Dengan susah payahnya, beliau berjaya menarik dirinya keluar dan kemudian mula mengetuk tongkatnya ke semua arah. Tidak siapa pun yang berganjak.

– Dan apa masalahnya sekarang ini? – jerit mereka yang berada di belakang.

– Potong semak duri itu! – teriak orang-orang yang berdiri di sekitar pemimpin tersebut.

– Ada jalan, di belakang semak duri itu! Itu dia! – jerit kanak-kanak sertakebanyakkan orang di belakang.

– Ada jalan di situ! Ada jalan di situ! – ejek orang-orang di sekitar pemimpin, mengajuk dengan kemarahan. – Dan bagaimana kita yang buta ini tahu ke mana beliau membawa kita? Semua orang tidak boleh memberi arahan. Pemimpin ini tahu jalan terbaik dan paling tepat. Potong semak duri itu!

Mereka meredah ke dalam untuk membersihkan jalan itu.

– Aduh, – jerit seseorang yang tersangkut tangannyadengan duri dan orang lain yang wajahnya terkena dahan beri hitam.

– Saudara-saudara, kalian tidak boleh mempunyai sesuatu tanpa apa-apa. Kalian harus berusaha sedikit untuk berjaya, – jawab yang paling berani dalam kumpulan itu.

Mereka menembusi semak itu setelah berusaha dengan kuat lalu bergerak ke hadapan.

Setelah mengembara jauh sedikit, mereka menemui beberapa kayu balak. Ini juga dilemparkan ke tepi. Kemudian mereka teruskan lagi.

Hanya sedikit kawasan berjayadiharungi pada hari pertama kerana mereka harus mengatasi beberapa halangan yang serupa. Dan semua ini dengan hanya sedikit makanan kerana ada yang hanya membawa roti kering dan sedikit keju sementara yang lain hanya mempunyai sedikit roti untuk memuaskan rasa lapar mereka. Ada yang tidak mempunyai apa-apa. Untungnya ianya musim panas, jadi mereka menjumpai pohon buah di sana sini.

Oleh itu, walaupun pada hari pertama hanya sedikit hamparan di belakang mereka, mereka berasa sangat letih. Tidak ada bahaya besar yang muncul dan tidak ada kemalangan juga. Sememangnya dalam usaha besar ini, peristiwa berikut mesti dianggap remeh: duri terkena mata kiri seorang wanita, yangmana beliau menutupnya dengan kain lembap; seorang kanak-kanak menangis dan terjerumus ke dalam balak; seorang lelaki tua tersandung ke dalam semak beri hitam lalu terseliuh pergelangan kakinya; setelah bawang kisar diletakkan di atasnya, lelaki itu dengan berani menahan kesakitan dan, memaut pada tongkatnya, berjalan tempang ke depan dengan gagah di belakang si pemimpin. (Yang pastinya, ada yang mengatakan bahawa lelaki tua itu berbohong tentang pergelangan kakinya, bahawa beliau hanya berpura-pura kerana beliau ingin pulang.) Tidak lama kemudian, hanya ada beberapa sahaja yang tidak mempunyai duri di lengan mereka atau cakaran di muka. Kaum lelaki itu menahan semuanya dengan gagah berani sementara kaum wanita mengutuk dari waktu mereka berangkat dan anak-anak itu menangis, pastinya, kerana mereka tidak memahami semua kerja keras dan kesakitan ini akan diberikan ganjaran yang besar.

Di dalam kebahagiaan dan kegembiraan semua orang, tidak ada apa yang terjadi pada si pemimpin. Terus terang, jika kami ingin mengatakan yang sebenarnya, beliau sangat dilindungi, tetapi tetap sahaja lelaki itu bernasib baik. Di perkemahan malam pertama, semua orang berdoa dan bersyukur kepada Tuhan bahawa perjalanan hari itu berjaya dan tidak ada apa-apa, bahkan tiada sedikit malapetaka pun yang menimpa pemimpin itu. Kemudian salah seorang lelaki yang paling berani mula bercakap. Wajahnya telah tercakar oleh semak beri hitam, tetapi beliau tidak mempedulikannya.

– Saudara, – beliau mula. – Perjalanan satu hari berjaya kita lalui, terima kasih Tuhan. Jalan itu tidak mudah, tetapi kita mesti bertahan kerana kita semua tahu bahawa jalan yang sukar ini akan membawa kita menuju kebahagiaan. Semoga Tuhan yang berkuasa dapat melindungi pemimpin kita dari sebarang marabahaya supayabeliau dapat terus memimpin kita dengan jayanya.

– Esok saya akan kehilangan mata saya lagi satu jika berlaku keadaan seperti hari ini! – salah seorang wanita berkata dengan marah.

– Aduh, kaki saya! – lelaki tua itu teriak, didorong oleh kata-kata wanita itu.

Anak-anak terus merengek dan menangis, dan kaum ibu sukar untuk mendiamkan mereka supaya jurucakap itu dapat didengari.

– Ya, kamu akan kehilangan mata yang lagi satu, – beliau meletus dalam kemarahan, – dan semoga kamu kehilangan kedua-duanya! Ianya bukan satu musibah besar bagi seorang wanita untuk kehilangan matanya kerana tujuan yang sangat baik. Demi maruah! Tidak pernahkah kamufikir tentang kesejahteraan anak-anak kamu? Mari separuh daripada kita binasa dalam usaha ini! Apa bezanya? Ada apadengan satu mata? Apa gunanya mata kamuapabila ada seseorang yang menjaga kita dan membawa kita menuju kebahagiaan? Haruskah kita meninggalkan janji kita hanya kerana mata kamu dan kaki orang tua itu?

– Beliauberbohong! Lelaki tua itu berbohong! Beliau hanya berpura-pura supayabeliau dapat pulang, – suara bergema dari pelbagai sudut.

– Saudara, siapa yang tidak mahu pergi lebih jauh, – kata jurucakap itu lagi, – biarkan beliaupulang dan bukannya mengeluh dan mengacau kita semua. Setahu saya, saya akan mengikut pemimpin yang bijak ini selagi ada yang termampu dalam diri saya!

– Kita semua akan ikut! Kita semua akan mengikut beliau selagi kita hidup!

Pemimpin itu senyap.

Semua orang mula memandang beliau dan berbisik:

– Beliauhanyut dalam pemikirannya!

– Orang yang bijak!

– Lihatlah dahi beliau!

– Dan selalu mengerutkan kening!

– Tegas!

– Beliau berani! Itu dilihat dalam semua perkara mengenai diri beliau.

– Kamu boleh mengatakannya lagi! Pagar, balak, semak – beliaumengharungi semuanya. Beliau dengan muram mengetuk tongkatnya, tidak mengatakan apa-apa, dan kalian mesti meneka apa yang ada dalam fikiran beliau.

(mukasurat seterusnya)

Pemimpin (1/3)

– Saudara-saudara dan rakan-rakan, saya telah mendengar ucapan-ucapan kalian, dan sekarang, saya meminta kalian pula mendengarisaya. Kesemua perbincangan dan perbualan kita tidaklah bermakna apa-apa selagi kita masih kekal di wilayah yang tandus ini. Di dalam tanah berpasir ini dan di atas batuan yang tiada apa boleh tumbuh, walaupun pada tahun-tahun yang hujan, apatah lagi di dalam musim kemarau seperti yang belum pernah kita lihat sebelum ini. Berapa lama lagi kita akan berkumpul begini dan bercakap dengan sia-sia? Lembu sedang tenat tanpa makanan, dan tidak lama lagi kita dan anak cucu kita juga akan kebuluran. Kita perlu mencari jalan penyelesaian lain yang lebih baik dan lebih diterima akal. Saya rasa adalah lebih baik ditinggalkan tanah gersang ini dan merantau untuk mencari tanah yang lebih baik dan subur kerana kita tidak boleh hidup seperti ini lagi.

Dengan itu, seorang penduduk di wilayah yang tidak subur bercakap dengan nada letih dalam satu pertemuan. Di mana dan bila, perkara itu tidak penting untuk kalian atau saya, saya rasa. Adalah penting untuk mempercayai saya bahawa ianya telah berlaku di suatu tempat di suatu tanah dahulu, dan itu sudah mencukupi. Sejujurnya, pada suatu ketika saya fikir saya telah mencipta keseluruhan cerita ini, tetapi sedikit demi sedikit saya membebaskan diri dari khayalan jahat ini. Sekarang saya yakin bahawa saya akan mengaitkan apa yang sebenarnya berlaku dan yang mesti berlaku di suatu tempat dan suatu ketika dan bahawa saya tidak akan pernah dapat untuk merekanya.

Para pendengar, dengan wajah pucat, lesu dan pandangan yang kosong, suram, hampir tidak dapat difahami, dengan tangan di bawah tali pinggang mereka, nampaknya kembali segar dengan kata-kata bijaksana ini. Masing-masing sudah membayangkan bahawa mereka seperti disihir, tanah impian di mana ganjaran bagi kerja berat akan menjadi hasil tuaian yang banyak.

– Beliau betul! Beliau betul! – bisik suara-suara keletihan itudari semua bahagian.

– Adakah tempat ini berde…ka…tan…? – bisikan sayup terdengar dari suatu sudut.

– Saudara-saudara! –mula seorang lagi dengan suara yang agak kuat. – Kita perlu segera mengikuti nasihat ini kerana kita tidak boleh lagi seperti ini. Kita telah melakukan kerja keras dan dalam ketengangan, tetapi semuanya sia-sia. Kita telah menabur benih yang sepatutnyaboleh dijadikan makanan, tetapi banjir datang dan menghanyutkan benih dan tanah dari lereng-lereng bukit sehingga yang hanya tinggal adalah batu kosong. Perlukah kita tinggal di sini selama-lamanya dan membanting tulag dari pagi hingga malam hanya untuk terus lapar dan dahaga, telanjang dan berkaki ayam? Kita harus pergi dan mencari tanah yang lebih baik dan subur di mana kerja keras dapat menghasilkan hasil tanaman yang banyak.

– Mari pergi! Mari pergi segera kerana tempat ini tidak sesuai untuk didiami lagi!

Semakin kuat bisikan, dan masing-masing mula berjalan pergi, mereka pergi tanpa memikirkan hala tuju.

– Tunggu, saudara! Mahu ke mana? – si pembicara pertama berkata semula. –Sudah tentu kita mesti pergi, tetapi bukan seperti ini. Kita harus tahu mana kita hendak pergi. Jika tidak, kita mungkin akan berada dalam keadaan yang lebih buruk daridapat menyelamatkan diri kita sendiri. Saya mencadangkan agar kita memilih seorang pemimpin yang harus kita semua patuhi dan yang akan menunjukkan cara terbaik dan paling tepat kepada kita.

– Mari pilih! Mari kita pilih seseorang sekarang juga, – dapat didengari di sekeliling.

Baru sekarang timbulnya pertengkaran, kekacauan yang nyata. Semua orang bercakap dan tidak ada yang mendengar atau dapat mendengar. Mereka mula berpecah kepada beberapa kumpulan, setiap orang mengomel pada dirinya sendiri, dan kemudian kumpulan-kumpulan itu juga berpecah. Secara berpasangan, mereka mula bercakap dengan satu sama lain beriringan, berbual, cuba membuktikan sesuatu, menarik lengan baju satu sama lain, dan menggerakkan keheningan dengan tangan mereka. Kemudian mereka semua berkumpul lagi, masih bercakap.

– Saudara! – tiba-tiba kedengaran suara yang lebih kuat yang menenggelamkan semua suara lain yang serak, membosankan. –Jika begini kita tidak akan dapat mencapai persetujuan. Semua orang bercakap dan tiada yang mendengar. Mari pilih seorang pemimpin! Siapa di antara kita yang boleh kita pilih? Siapakah di antara kita yang telah cukup mengembara untuk mengetahui jalan-jalan tersebut? Kita semua mengenali antara satu sama lain, namun saya sendiri tidak akan meletakkan diri saya dan anak-anak saya di bawah kepimpinan salah seorang di sini. Sebaliknya, beritahu saya siapa yang tahu tentang pengembara yang sedang duduk di tempat teduh di pinggir jalan itu sejak pagi tadi?

Senyap sunyi. Semua berpaling ke arah orang asing itu dan memerhatikan beliau dari hujung kepala hingga hujung kaki.

Pengembara itu, pertengahan usia, dengan wajah muram yang hampir tidak kelihatan kerana janggut dan rambut panjangnya, duduk dan kekal senyap seperti sebelumnya, lenyap dalam pemikiran, dan mengetuk tongkat besarnya ke tanah dari semasa ke semasa.

– Semalam saya lihat lelaki yang sama itu dengan seorang budak lelaki. Mereka saling berpegangan tangan dan berjalan ke jalan raya. Dan malam semalam budak lelaki itu tinggalkan kampung tersebut tetapi orang asing itu tinggal di sini.

– Saudara, mari lupakan perkara-perkara bodoh ini supaya kita tidak akan kehilangan masa. Siapa pun beliau, beliau datang dari jauh kerana tidak ada di antara kita yang mengenalinya dan beliau pasti tahu cara singkat dan terbaik untuk memimpin kita. Saya menilai bahawa beliau seorang yang bijaksana kerana beliau duduk di sana dengan senyap dan berfikir. Orang lain sudah pasti sepuluh kali atau lebih menyibuktentang urusan kita sekarang atau sudah memulakan perbualan dengan salah seorang daripada kita, tetapi beliau duduk di sana seorang diri sepanjang waktu dan tidak berkata apa-apa.

– Semestinya, lelaki itu duduk diam kerana beliau sedang memikirkan sesuatu. Ia tidak lain melainkan bahawa beliau sangat pintar, – disokong oleh yang lainnya dan mula memeriksa orang asing itu lagi. Masing-masing telah menemui sifat cemerlang dalam diri beliau, bukti kepandaiannya yang luar biasa.

Tidak banyak masa lagi yang dihabiskan untuk bercakap, maka akhirnya semua bersetuju bahawa adalah lebih baik bertanya kepada pengembara ini –yang mana, menurut mereka, Tuhan telah menghantar untuk memimpin mereka keluar ke dunia untuk mencari wilayah yang lebih baik dan tanah yang lebih subur. Beliau seharusnya menjadi pemimpin mereka, dan mereka akan mendengar dan mematuhi beliau tanpa soal.

Mereka memilih sepuluh orang di antara mereka untuk pergi ke orang asing itu untuk menjelaskan keputusan mereka kepadanya. Rombongan ini bertujuan untuk menunjukkan kepadanya keadaan mereka yang menyedihkan dan meminta beliau untuk menjadi pemimpin mereka.

Maka sepuluh orang itu pergi dan tunduk dengan rendah dirinya. Salah seorang dari mereka mula bercakap mengenai tanah yang tidak produktif di kawasan itu, mengenai tahun-tahun yang kemarau dan kesengsaraan di mana mereka semua berada. Beliaumengakhiri dengan cara yang berikut:

– Keadaan ini memaksa kami untuk meninggalkan rumah dan tanah kami dan bergerak ke dunia untuk mencari kampung halamanyang lebih baik. Pada saat ini ketika kami akhirnya mencapai persetujuan, nampaknya Tuhan telah menunjukkan belas kasihan kepada kami, bahawa Dia telah mengutuskan kamu kepada kami – kamu, orang asing yang bijaksana lagi layak – dan bahawa kamu akan memimpin kami dan membebaskan kami dari penderitaan kami. Atas nama semua penduduk di sini, kami meminta kamu untuk menjadi pemimpin kami.

Ke mana sahaja kamu pergi, kami akan ikut. Kamu tahu jalan-jalannya dan kamu pasti dilahirkan di kampung halaman yang lebih membahagiakan dan lebih baik. Kami akan mendengari kamu dan mematuhi setiap perintah kamu. Adakah kamu, orang asing yang bijaksana, bersetuju untuk menyelamatkan begitu banyak nyawa dari kehancuran? Mahukahkamu menjadi pemimpin kami?

Sepanjang ucapan sedih ini, si orang asing yang bijaksana itu tidak langsung mengangkatkan kepalanya. Sepanjang masa itu beliaukekal berada di posisi yang sama di mana mereka menjumpainya. Kepalanya tunduk, beliau mengerutkan kening, dan beliau tidak berkata apa-apa. Beliau hanya mengetuk tongkatnya ke tanah dari semasa ke semasa dan – berfikir. Ketika ucapan itu selesai, beliauberkata dengan singkat dan perlahan tanpa mengubah kedudukannya:

– Saya akan!

– Bolehkah kami pergi bersamamu dan mencari tempat yang lebih baik?

– Kalian boleh! – sambungnya tanpa mengangkat kepalanya.

Keghairahan dan ungkapan penghargaan muncul kini, tetapi orang asing itu tidak bercakap sepatah kata pun terhadap semua itu.

Sepuluh orang itu memberitahu kumpulantersebut mengenai kejayaan mereka, sambil menambah bahawa baru sekarang mereka melihat kebijaksanaan mendalam yang dimiliki oleh lelaki ini.

– Beliau bahkan tidak bergerak dari tempat itu atau mengangkat kepalanya sekurang-kurangnya untuk melihat siapa yang bercakap dengannya. Beliau hanya duduk diam dan bertafakur sahaja. Untuk semua ucapan dan penghargaan kami, beliau hanya mengucapkan empat perkataan sahaja.

– Orang yang benar bijak! Kepintaran yang jarang dijumpai! – mereka menjerit dengan gembira dari semua sudut dengan mendakwa bahawa Tuhan sendiri telah menghantar beliau sebagai malaikat dari syurga untuk menyelamatkan mereka. Semuanya yakin akan kejayaan di bawah seorang pemimpin seperti itu yang tidak dapat dibantah oleh apa pun di dunia ini. Oleh itu, ianya telah diputuskan untuk berangkat pada keesokan harinya pada waktu fajar.

(mukasurat seterusnya)